Bukan untuk pancing undi pilihan raya


Bukan untuk pancing undi pilihan raya

Idris Jala
idrisjala@pemandu.gov.my
2012/10/08

Bajet 2013 berhemat, sokong pertumbuhan, pendapatan tinggi

Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2013, ramai menyahut gembira, namun sudah lumrah, pasti ada segelintir yang mencemuh.

Mengikut pandangan umum, sesebuah bajet negara menjelang pilihan raya sering kali terlalu boros, malah giat mengagih 'gula-gula' hanya untuk mengulit rakyat agar mengundi calon mereka nanti.

Jika diteliti bajet baru-baru ini, jelas ia langsung tidak boros. Ia tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang.

Hakikatnya, ia sebuah bajet berteraskan kesejahteraan rakyat, malah kerajaan mana dalam dunia ini yang tidak menyandarkan bajetnya sedemikian rupa?

Bersifat pragmatis

Walaupun detik pilihan raya sudah dekat, bajet yang dibentangkan itu bersifat pragmatis, pelaksanaannya pasti dan tidak melampaui batas. Selayaknya ia disebut sebuah bajet negara.

Saya menyenangi tiga ciri Bajet ini:

  • Ia bajet bercirikan pengembangan dan menyokong pertumbuhan ekonomi. Walaupun berdepan kegawatan ekonomi global, KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar – yakni barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam setahun pada harga malar) dijangkakan berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga 5 peratus pada 2013.

    Pertumbuhan ini dipacu pelaburan swasta dan penggunaan dalam negara yang diramal akan meningkat masing-masing pada kadar 13.3 peratus dan 5.7 peratus.
  • Ia berhemat dari segi fiskal. Pakar ekonomi sering mengkaji setakat mana perbelanjaan dalam bajet melebihi paras kutipan hasil mengikut peratusan KDNK.

    Berdasarkan kaedah ini, Kerajaan sudah menggariskan sebuah program untuk mengurangkan defisit kepada peratus KDNK menjelang 2015.

    Kita sedang berusaha mencapai sasaran ini, defisit fiskal diunjur menurun kepada 4 peratus KDNK pada 2013 daripada 4.5 peratus pada 2012.

    Penurunan ini memperlihatkan pengurangan defisit mapan daripada 6.6 peratus pada 2009, 5.6 peratus pada 2010 dan 4.8 peratus pada 2011. Ketara sekali bahawa janji penghematan fiskal sedang terlaksana.
  • Ia menyasar dan memfokus. Belum pernah, seingat saya, dibentangkan sebuah bajet yang memberikan begitu banyak penekanan terhadap golongan sasaran.

    Bajet ini menawarkan bantuan kewangan terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan, bukannya subsidi pukal sehingga orang berada pun memperoleh subsidi.

    Akan saya ulas lebih lanjut tiga ciri di atas. Kami bersyukur kerana setiap peruntukan yang kami minta bagi melaksanakan kedua-dua program transformasi ekonomi dan kerajaan dengan tujuan mencapai pertumbuhan ekonomi sudah ditunaikan.

    Kami hanya minta apa yang kami perlukan – tidak lebih daripada itu – dan itu yang diperuntukkan buat kami. Sebanyak RM8.4 bilion jumlahnya.

    Harus saya sebutkan di sini, bimbang nanti disalahertikan; wang ini bukannya bajet bagi kos operasi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). Sebaliknya ia untuk melaksanakan projek kerajaan bagi menyokong pertumbuhan, pembangunan dan anjakan bagi semua sektor dalam usaha ke arah transformasi.

    Sebagai contoh, kita perlukan infrastruktur jika mahu melihat projek minyak dan gas Pengerang yang bernilai berjuta ringgit itu diteruskan.

    Peruntukan ini membolehkan kami mengusahakan segala yang sudah kami sasarkan pada 2013 untuk terus berada atas landasan pertumbuhan ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

    Bajet ini amat menyokong dasar serta program transformasi malah komited memastikan transformasi ini tetap mapan.

    Bagi mendorong ekonomi dan menyuntik rangsangan berkonsep Keynes tatkala pertumbuhan ekonomi teramat lesu di seluruh dunia, penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak satu peratus bagi beberapa segmen termasuk peruntukan bonus sebanyak setengah bulan gaji bagi penjawat awam memberikan suatu hasil pendapatan boleh guna bagi mereka ini.

    Program perumahan mampu milik bertujuan menyediakan tanah agar pemaju perumahan dapat membina rumah kediaman yang elok bagi golongan berpendapatan sederhana.

    Langkah ini dapat mencergaskan sektor pembinaan dan industri berkaitan malah mampu menangkis permasalahan sosial yang serius akibat ketiadaan tempat tinggal.

    Seperti lumrahnya, sebahagian besar bajet diperuntukkan untuk sektor pendidikan yang kerajaan baru saja melancarkan pelan pembangunan pendidikan untuk memastikan pembangunan menyeluruh untuk sektor berkenaan.

    Galak kurang penggunaan gula

    Bagi peruntukan subsidi pula, kerajaan mengumumkan hasrat untuk mengurangkan subsidi gula, namun pada kadar amat rendah.

    Langkah ini memberi manfaat kerana ia menggalakkan pengurangan kandungan gula dalam pemakanan, bukannya berniat menaikkan harga.

    Peniaga kedai mamak hanya perlu kurangkan gula seperlima saja dalam teh tarik, tak perlulah mereka menaikkan harga.

    Ertinya, kita tak payah memesan teh tarik ‘kurang, kurang manis’, sedangkan yang kurang manis pun sudah terlampau manis.

    Bajet yang bercirikan pengembangan ini menguruskan kewangan dengan penuh hemat dan teliti, malah Perdana Menteri sudah berjanji akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus daripada KDNK.

    Kita juga patut ambil kira bahawa sejumlah besar hutang Kerajaan adalah hutang domestik, jadi tak perlu kita risau dengan kemungkinan bank asing datang menagih hutang daripada kita.

    Kaedah paling berkesan bagi mewujudkan peluang kerja adalah memastikan pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan hasil pendapatan.

    Walau yang demikian, masih akan wujud ramai golongan daif yang terpinggir sehinggalah kita dapat mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi. Ini yang cuba dicapai oleh program transformasi.

    Ringankan beban

    Namun, sebagai langkah awal, pemberian tunai secara terus dan langsung kepada golongan miskin sekurang-kurangnya mampu melegakan kesengsaraan yang mereka hadapi dan tidak boleh dipandang remeh sama sekali.

    Kesan bantuan tunai ini amat ketara dan ia memberi ruang untuk meringankan beban kefakiran golongan ini. Sewajarnyalah langkah sasaran ini dialu-alukan.

    Selayaknya, amatlah penting meneliti sesebuah bajet daripada segenap sudut. Mengharapkan kita akan senantiasa diberikan yang baru dan hebat-hebat memanglah tidak realistik.

    Rata-rata, langkah yang diambil pasti bernada sama dan membosankan, namun pembikinan dasar ekonomi sewajarnya begitu, kerana ia perlu memastikan kebolehramalan dan kekekalan setiap langkah yang diambil.

    Teras bajet tersebut yang sepatutnya menjadi tunjang utama penelitian kita. Bajet ini menyokong pertumbuhan ekonomi dan langkah pembaharuan yang strategik bagi mencapai status pembangunan dan pendapatan tinggi.

    Ia Bajet berhemat dalam melaksanakan janji untuk mengurangkan defisit fiskal mengikut peratusan GDP. Ia Bajet yang memberi fokus untuk membantu golongan sasaran yang memerlukan.

    Belum cukup sempurnakah Bajet ini pada hemat anda?

    Penulis ialah Datuk Seri Idris Jala adalah Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sebarang komen yang bersifat adil dan telus amat dialukan di idrisjala@pemandu.gov.my
  • This entry was posted in