Tak Sangka!

Hidup ini berbagai pengalamannya. Ada suka ada duka. Ada sukar dan ada yang mudah sahaja. Aku tak tahu aku dalam situasi yang macamana. Rasanya sukar juga perjalanan hidup ku. Berbagai onak duri aku lalui.Sememangnya hidup ku sejak kecil susah. Duduk kampunglah katakan. Setakat makan minum memang lah cukup sebab air guna perigi je. lampu guna pelita. Tak perlu bayar bil setiap bulan. Beras sentiasa ada sebab emak ada mengerjakan sawah. Bila beras habis kami ramai-ramai pergi tumbuk padi mengunakan lesung kayu. Pijak hujungnya dan lesung itu akan terangkat keatas kemudian lepaskan. Cara itu lah untuk meleraikan kulit padi dari isinya. Kemudian tampi dalam nyiru untuk memisahkan kulit padi dari beras. Beras yang baru tumbuk rasanya sedap sekali. Baunya wangi. Dah lama aku tak rasa pengalaman itu. Dah berpuluh tahun tak kerjakan sawah lagi.



Sambil-sambil bersawah aku selalu tangkap ikan. Ikan sentiasa ada aja dalam lopak-lopak air. Raba aje dalam lumpur tu mesti dapat. Banyak rezeki Allah beri cuma kita perlu usaha sahaja. Hidup dikampung aktiviti bertani memang tak dapat lari dari kehidupan. Bila ada masa senggang berkebun lah kami. Setakat sayur tak perlu beli, petik aja kat kebun atau belakang rumah. Segar dan tiada racun perosak. Sebab itu kami yang duduk kampung, badan sentiasa sihat walafiat. Kerana itu aku the best athelete ketika zaman sekolah dahulu. Tak sangka kan?

Aku paling suka memerun. Bakar sampah atau ranting-ranting kayu. seronok tengok api yang marak. Sambil-sambil tu cabut ubi serumpun, isinya bakar. Puhhh.. sedap kalau makan ubi bakar panas-panas. Budak-budak sekarang tentu tak pernah rasa semua ni. Ada masa-masa tertentu kami tebang pokok rumbia untuk ambil sagunya. Selain diberi ayam makan, sagunya sedap di buat cendol terutama musim bulan puasa. Buat lempeng pun sedap dimakan panas-panas. Dulu-dulu mak selalu buat cendol sagu untuk di jual di bulan puasa. Memang cukup laku. Dapat lah duit sampingan untuk belanja seharian. Aku selalu tolong emak buat cendol tu. Tak sangkan kan? Nak dapatkan sagu bukannya senang. Selepas tebang pokoknya, kerat sedepa-sedepa kemudian buang kulitnya. Parut kemudian campur air dan perah seperti perah kelapa untuk santannya. Biarkan untuk beberapa jam. Sagunya akan mendap kebawah. Buang airnya dan dapat lah hasil sagunya. Proses terakhir sagunya hendaklah di jemur supaya kering. Jika elok cuaca panas, cantiklah hasil sagunya. Memang rumit kerja-kerjanya sebab itu ada peribahasa KALAU TAK DI PECAH KAN RUYONG MANA KAN DAPAT SAGUNYA. Umpamanya untuk mendapatkan sesuatu kita kena berusaha sungguh-sungguh sehingga mendapatkan hasilnya.



Bila musim kesawah aku selalu ditugaskan menghalau burung. Pagi-pagi matahari baru nak terbit aku kena pergi sawah jaga burung supaya tidak makan padi yang masih lembut iisinya. sejuk kaki ku mengharungi batas -batas sawah sambil menghalau burung yang hinggap kat rumpun padi. Pagi-pagi lagi burung-burung tu dah kerja mencari rezeki. Aku pulak terpaksa halau jika tidak kuranglah hasil padi kerana di makan oleh burung.Ketika musim cuti sekolah yang panjang lebih seronok kerana kami adik-beradik akan beramai-ramai turun kesawah. Adik yang kecil pun bawak sama. Mak akan buat buaian untuk mereka. Ikat kain kat dahan pokok. sambil jaga burung sambil tangkap ikan atau main pondok-pondok. Best nya....!



Bila musim kesawah sudah tamat kami ramai-ramai tangkap ikan dalam lubuk sawah. Sekiranya air masih banyak kami bergilir-gilir timba air dan buang ke sungai Buang. Kenapa di namakan Sungai Buang? Maksudnya air yang didalam petak sawah yang tidak diperlukan akan di alirkan kedalam sungai terebut. Dulu aku pun tak faham kenapa parit air itu mendapat nama tersebut.Aku sangkakan Buang itu nama orang!



Ikan memang banyak. Kalau ikan keli atau sembilang kena tangkap berhati-hati kerana sengat nya sangat bisa. Jikalau terkena sengat nya bisanya berdenyut-denyut. Boleh demam jika di biarkan sahaja. Penawar nya yang aku selalu amalkan ialah dengan menyapu luka sengatan dengan getah keladi.Memang selalu kena sengat tapi aku tak pernah serik. Jikalau dapat pegang kepala ikan keli tu harus tak lepas lagi. Pertarungan paling hebat ialah menangkap ikan haruan. Tenaga nya sangat kuat ketika kita hendak menangkapnya. Walaupun kita sudah dapat pegang kepalanya , belum tentu lagi kita dapat ikan tersebut. Itu yangkadang-kadang buat aku frust kalau dah pegang tapi terlepas. sama juga belut. Memang sukar untuk menangkapnya. Badan nya sangat licin. Kalau dapat tangkap dengan tangan kira dah terror lah tu. Bila dapat tangkap ikan rasa seronok tu tak dapat di gambarkan. Bangga sangat-sangat.



Pernah terjadi insiden adik ku Darul hampir lemas dalam lumpur. Umurnya ketika itu sekitar 3 ke 4 tahun. Lumpur agak dalam dan dia pun sama nak sertai kami menangkap ikan. Mujur seorang sepupu ku nampak ada kocakan besar dalam lumpur. Dia menjangkakan itu ikan Haruan yang besar segera berlari untuk menangkapnya. Rupa-rupanya adikku Darul yang hampir lemas tenggelam didalam lumpur. Allah maha besar, sebelum ajal berpantang mati.



Ikan sungai ni sangat sedap kalau dibuat masak lemak cili api. Kena pulak tengah lapar, makan sampai menjilat jari! Dulu-dulu masak mengunakan kayu api. Rasa masakannya lebih sedap jika dibandingkan memasak menggunakan gas. Memang terasa nikmatnya. Kalau lah sekarang aku ada peluang masak menggunakan kayu api kan best!



Kerana sering bergelumang dengan lumpur serta pokok mengsiang kat sawah, kulit badan ku tidaklah gebu seperti remaja lain. sementelah berjemur di terik matahari. Kulit ku dalam ketogari kelabu metalik. Calar balar pulak tu dek pokok mengsiang. Pokok mengsiang ni memang tajam daunnya. Boleh melukakan kulit kita. Entah kenapa aku tak pernah hiraukan kecantikan diri ketika remaja ku. Aku dah terbiasa dan itulah kehidupanku. Ada rasa rendah diri bila melihat kawan-kawan sekolah berbeza dengan ku. Tapi aku harus hadapi juga kerana itulah AKU. Tak sangka kan!

This entry was posted in