TERASING

Cuti hujung minggu yg panjangsempena sambutan Hari Malaysia. Masing-masing dengan aktiviti sendiri dan aku rasa nak selak diari lama. Banyak rupanya kenangan lama yang telah hilang dari memori minda dan muncul kembali dengan adanya catitan yang tertulis didalamnya. Ada yang penuh emosi akibat dikecewakan terutama dalam percintaan. Ada airmata yang mengalir kerana putusnya kasih dan sayang kerana orang yang pernah ku sayang pergi meninggalkan aku akibat kemalangan ngeri yang meragut nyawa  pada 27 tahun yang lalu. Semoga almarhum sentiasa dipelihara oleh rahmat Allah di alam barzakh. Amin.

Ada kepiluan sepanjang perjalanan hidupku dari awal aku pandai melayan perasaan. Suka duka demi mencari sesuap nasi sekadar mengalas perut dari kebuluran. Jerih perit emak membesarkan anak-anak yang masih kecil dan tidak mengerti badai kehidupan. Semuanya membuatkan  parut lama berdarah kembali. Salahkah diari ini kerana membongkar kembali kenangan silam?
Tercatit juga setiap peristiwa bahagia yang tarikhnya telah aku lupakan. Semua kenangan inilah yang menjadi asam garam dan warna warni kehidupanku. 
Di hari dan saat ini aku amat bersyukur kerana kehidupan tidak sesukar dulu-dulu. Banyak sangat perubahan yang aku alami. Banyak kebahagiaan yang aku kecapi bersama keluargaku. Suami yang baik dan bertimbangrasa dan sangat bertanggungjawab terhadap amanahnya. Anak-anak yang sangat memahami segala kekurangan yang tidak dapat dipenuhi. 
Biarlah diari ini menjadi  pemangkin untuk ku terus tabah menghadapi ranjau-ranjau kehidupan yang masih panjang dan berliku.

TERASING
JAUHNYA PERPISAHAN INI
SEPERTI TELAH HILANG
SEGALA SIMPATI
RUANG CINTA TIADA LAGI
TERASING
OLEH MASA DAN KEADAAN
MIMPI MENDENDANG HARAPAN
JIKALAH BENAR
PASANG AIR DI KUALA
KOLEKMU AKAN TERDAMPAR
SURUT AIR KU NANTI JUA
NAMUN PASANG SURUT AIR TIADA ERTI
KERANA KOLEK MU TIADA SUDI
MENYINGAHI PELABUHAN INI
YANG SEPI MENANTI

Ku temui sajak ini yng ku tulis pada 1 julai 1986. Dah 26 tahun lamanya . Masa jiwa sedang kacau. Bila dibaca berulang kali terasa nak tergelak pulak. Ini lah gelora jiwa remaja yang terasa di lupakan, disingkirkan. 
Inilah perasaan remaja yang terkadang orang-orang tua tidak mahu ambil peduli. Mujur aku mengambil langkah positif dengan meluahkan jiwa resah ku kedalam diari. sekurang-kurangnya dapat ku imbau kembali nostalgia lama. 

This entry was posted in