Aku, Itu, Ini

10hb disember1961 Tarikh lahir ku.

Umur ku sekarang sudah 50 tahun. Tua dah oiiii..... Perjalanan ku semakin menuju senja. Aku tak tau bila aku akan sampai ke station terakhir ku dan entah di mana lokasi nya. Hati masih lagi terasa muda dan mahu enjoy the living...!

Tahun ini aku akan bergelar uwan. InsyaAllah cucu pertama ku di jangka lahir pada september 2012.



Aku terpaksa tinggal kan kampung halaman di Labu, Seremban kerana mengikut suami ku yang berpindah kerja ke Batu Gajah, Perak. Aku, Suami dan seorang anak perempuan ku Ayu sahaja yang berpindah ke sini. Seorang lagi anak lelaki ku Hamdi kebetulan sedang belajar di UITM Sri Iskandar perak. Bila tiada kelas dia akan balik kerumah di kompleks KTMB Batu Gajah Perak. Sekarang dia sudah pun selesai diploma dan sedang menunggu majlis konvokesyen yang mungkin akan diadakan pada bulan oktober 2012 ini.Aku berharap dia akan terus buat ijazahnya sementara aku dan ayahnya masih sihat dan masih berupaya bekerja mencari duit. Kalau ayahnya dah pencen tak taulah kami mampu menanggung semua perbelanjaan termasuk adik-adiknya Hamzi, Hidayu dan Habib.



Zaman kecil ku tidaklah seindah yang dikecapi oleh anak-anakku. Akumembesar bersama lumpur disawah. Sungai dan lintahtempat aku bermesra setiap hari. Anak-anak sekarang bermain playstation, komputer game, pergi cyber cafe setiap hari. Aku bermain dengan kambing di kandang.Busuk kambing tidak langsung menjijikkan aku. Rasanya lebih aman berkawan dengan kambing berbanding kawan-kawan sekampung kerana sering bergaduh kerana insiden ejek-mengejek sekiranya kalah dalam sesuatu perlawanan.Rasa tidak puas hati sering terjadi tetapi terpaksa mengalah kerana tidak mahu pergaduhan terjadi. Tapi itu sementara sahaja.... esok kawan balik! Begitulah situasinya ketika kecil-kecil dulu.

Aku ada rasa rendah diri kerana keluarga ku miskin. Mak bersawah, berkebun sambil membela sedikit ternakan seperti kambing, kerbau dan ayam. Ayah sepanjang yang aku ingat tidak duduk bersama kami. Ayah bekerja sebagai driver bas di bandar seremban. Destinasinya Seremban, Lukut dan Tanah Merah Estet di Port Dikson. Pihak estet menyediakan rumah di estet tersebut. Ayah cuma balik rumah sebulan sekali sahaja. Bila ayah balik kami seronok sangat. Maklumlah sebulan sekali jumpa.



Ketika kecil ku aku tidak tau apa kesulitan yang emak tanggung. Mak membesarkan 8 orang anak sendirian tanpa ayah disisi. Aku dan adik beradik yang lain terpaksa saling bantu membantu antara satu sama lain. Yang besar tolong emak kat sawah. Kakak ku pidah selalunya kat rumah kerana ketika itu aku ada adik yang masih kecil Yati dan Jili.

Ayah kerana sering berjauhan dengan isteri dan anak-anak akhirnya tewas dengan godaan nafsu. Hilang rasa kasih dan sayangnya pada kami. Dia akhirnya terpikat dengan seorang janda anak lima di estet tersebut.Mereka akhirnya berkahwin.



Tentu hancur lulur hati seorang isteri ketika itu. Aku dapat bayangkan apa yang emak rasa.Apalah daya kami kerana ketika itu aku baru 14 tahun. Abang, akak dan adik-adik semuany masih bersekolah. Apakah daya kami ketika itu?

Gaji ayah yang tidak seberapa mampukah menanggung dua keluarga? Dia menempah maut dengan berkahwin dengan janda anak lima. Ayah sanggup menanggung anak-anak tiri seramai 5 orang dan membiarkan kami 8 beradik terkial-kial meneruskan hidup bersama emak. Ketika itu perasaan memang tidak dapat di gambarkan. Berbagai kemelut terpaksa emak hadapi sendiri. Kesian emak. Mujur emak mempunyai hati waja. Dia sangat tabah menghadapi semua dugaan.



Sekira nak aku ceritakan semua memang pedih. Bila aku terkenang air mata ku pasti berlinangan. Betapa kental nya semangat emak demi membesarkan anak-anak nya yang lapan orang itu. Di mana kah ayah ketika itu? Tidak kah ada rasa bersalah di benak hatinya.Dia lebih rela memberi makan anak-anak tiri dari memikirkan nasib isteri dan anak-anak nya yang ramai itu.



Semasa di pejabat kadi ayah mengaku mampu menanggung keluarganya. Tapi mampukah dia... Duit sering tak cukup untuk belanja sekolah. Untuk beli buku, untuk yuran sekolah dan untuk tambang bas setiap hari.

Setiap hujung bulan akulah yang menunggu ayah di pekan Seremban. Kadang-kadang dua tiga hari aku tunggu hari gajinya. Aku setia menunggu sampai ayah dapat duit gaji untuk di serahkan kepada ku. Mak kata, tunggu sampai ayah gaji, kalau tidak kau tak kan merasa duit ayah. Akhirnya bila ada adik baru lahir tiada lagi duit dari ayah. Apa ni..., mana janji ayah dulu! Kata mampu berpoligami...! Mulalah ayah kata duit tak cukup. Itu lah ini lah..bla..bla...



Aku sahaja yang tahu peristiwa ini kerana aku yang sering menunggunya di station bas Seremban. Station lama dulu.


Aku juga yang sering melihat airmata mak mengalir dipipinya. Kesian mak.. apalah dayaku.Sungguh pun begitu mak tak pernah suruh anak-anak nya berhenti sekolah. Emak sangat bersemangat melihat anak-anaknya berjaya di dalam pelajaran. Anak-anak mak pandai-pandai belaka. Sekiranya lebih perhatian dari ayah mungkin anak-anak emak akan lebih berjaya dalam pelajaran. Aku tak mahu salah kan ayah kerana ini semua mungkin suratan takdir yang terpaksa kami lalui dengan reda. Mungkin ada hikmah di sebaliknya yang aku tidak ketahui. Allah jua maha mengerti.



Alhamdulillah, Mak tak perlu lagi melayan kerenah ayah.Ayah bukan perfect pun. Biarlah emak muda je yang ambil tugas-tugasnya.Mak boleh tersenyum gembira sekarang. Mak bebas melakukan rutin hariannya... berkebun, bela lembu.

Rasanya mak lebih tenang dan gembira sekarang. Walau pun sudah di mamah usia tapi mak masih rajin dan gigih seperti masa mudanya. Aku rasa aku tak dapat mengharungi kehidupan seperti emak. Aku rasa aku sangat lemah. Rasa rendah diri ku masih menebal.Tanpa di duga mak pandai menyimpan duit di tabung haji. Beberapa tahun yang lepas mak berjaya menunaikan haji. Tapi ayah bila lagi. Begitulah hebatnya emak berbanding ayah. Walau di abaikan ayah emak mampu berdikari dan membesarkan lapan orang anak tanpa seorang pun tercicir dalam pelajaran.



Ayah tidak meninggal kan sebarang harta pun kepada kami adik beradik. Rumah murah yang kami duduk selama ini adalah atas usaha emak dan abang sulungku Nordin. Ayah tak pernah pun ambil tahu keadaan kami. Satu sen duit pun tak pernah dia keluarkan untuk rumah itu. Tapi rumah dia bersama isteri kedua dan lima anak tiri serta dua orang adik yang sama ayah sangat cantik dan selesa. Mana keadilan di sini. Sebidang tanah pun kami tak perolehi dari ayah. Walhal anak-anak tiri serta dua orang adik ku itu hidup dengan selesa sekali. Kenapa kami di pinggirkan? Kenapa ayah tidak sayang pada kami.Kenapa sampai hati ayah membiarkan emak membesarkan kami lapan beradik sendirian? Kenapa..kenapa.....?



Terkadang aku tak habis fikir dengan sikap ayah. Bila kami dah besar pandai pula merajuk apabila tiada anak-anak yang menjenguk dia bila terlantar sakit. Marah apabila anak-anak tak hulur duit kepadanya. Almaklum kami anak-anak hidup sederhana sahaja. Tanggungjawab banyak. Kenapa dia tidak menyesali diri kerana mengabaikan kami dahulu? Sekiranya ayah bersungguh-sungguh membela kami tentu kami lebih berjaya dalam hidup.Mungkin ada yang berjawatan besar. Mungkin ayah takperlu berkecil hati dengan kami. Dan mungkin kami dapat memberi lebih kepada ayah, bukan sekadar duit sahaja.Kasih sayang yang padu dari kami pasti ayah dapat..... Tapi sekarang macamana? Setiap kali teringat ayah tiada peristiwa indah yang dapat digambarkan. Hanya peristiwa duka yang memenuhi ruang legar kenangan ku. Adik-adik ku yati dan jili mungkin tidak begitu terasa peritnya kehidupan abang-abang serta kakak-kakaknya kerana ketika itu mereka kecil lagi. Nampaknya mereka terlebih sayang kat ayah dari kami semua. Ayah pun terlebih sayang kat mereka nampaknya..... mungkin atau prasangka ku sahaja!



Apabila kami susah tiada saudara mara pun yang ambil tahu.Memang sedih yang teramat sangat.Bagi yang reda dan tabah sahaja dapat melalui pahit getirnya.Syukur kepada Allah.. Emak ku adalah insan yang terpilih oleh Allah untuk mengharungi semua dugaan itu dengan tabah.Tiada seorang pun anak-anak nya yang tercicir dalam pelajaran. Nak keperingkat ijazah tu terpaksa lah usaha sendiri.Aku belajar sampai tingkatan lima. Dapat gred tiga.Jadi lah...Selepas itu aku berusaha belajar untuk dapatkan sijil stpm. Alhamdulillah, aku ada sijil stpm walaupun keputusannya tidak berapa baik.Aku ingin maju, berjaya seperti orang lain tapi perasaan rendah diri tetap menebal dalam diri. Sebab tu aku masih macam ini. Tiada kemajuan.Kerana itulah aku tanamkan semangat yang tinggi kepada anak-anakku. Keyakinan yang tinggi, semangat yang kuat, berani dan sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi segala halangan serta rintangan yang mendatang. Ketepi kan segala penghinaan yang boleh membunuh keyakinan diri. Orang suka melihat kita susah dan mereka akan tambahkan lagi kesusahan itu dengan bermacam-macam umpat keji.



Mungkin anak-anak ku merasakan tempias pengalaman ku.Hasad dengki, cemburumemang ada di mana-mana. Permulaan perkhawinan ku bukan sesuatu yang sangat indah. Aku tidak begitu di senangi oleh ipar duai ku. Aku tak tau kenapa. Aku buruk kah... aku miskin kah atau aku bodoh sehingga mereka merasakan aku tidak layak berada dalam kolompok mereka. Kalau di ingatkan balik memang berderai air mata ku. Mereka seolah-olah tidak ingin melihat aku berada dalam keluarga mereka. Aku rasa sangat hina. Masa tu anak ku Hazirah dan Hilmi kecil lagi.Tiada siapa pun dalam keluarga suami ku memberi perhatian kepada mereka. Apalagi untuk menyentuh dan membelai manja mereka. Sedih....

Aku dan anak-anak benar-benar disisihkan. Apa yang mampu aku buat selain bersabar. Sabar...sabar. Kerana suamiku sayang kat aku dan anak-anak aku bersabar.Terima kasih suami ku, kerana kasih sayang mu aku mampu menghadapi semua itu dengan tabah." Pedulikan mereka kerana bukan mereka yang bagi makan kita, bukan kita mintak duit mereka". Itulah pesan suamiku ketika aku luahkan rasa sebal ku padanya. Aku memang sedih ketika itu... Paling terasa apabila hari raya akan menjelang. Bagaimana akan aku hadapi situasi di rumah mentua ku nanti.Kalau kak long langsung tak mahu menegur aku anak beranak. Bila nampak aku macam nampak hantu...lari atau mengurung diri dalam bilik. Selagi aku ada dirumah itu selagi itu lah dia duduk di dalam bilik atau mencari-cari peluang untuk keluar dari rumah itu. Terasa hina sangat aku ketika itu dan tanpa aku sedar aku hilang minat untuk berkunjung ke rumah mentua. Anak-anak ku pun seakan mengerti. Semakin besar mereka semakin faham situasi yang aku hadapi.



Aku di tuduh queen control kepada suami ku.Mereka kata suamiku ikut sahaja kata-kata ku. MasyaAllah... Aku tahu hukum hakam dan sangat menghormati suami ku. Mujur suami ku seorang yang sangat baik. Tapi bila sesekali dia HOT.... berasap telinga aku... Tak tahan, rasa nak lari balik kampung time itu jugak!



Aku sangat bersyukur kerana di jodohkan dengan dia. Dia lahEsahal yang sangat unik orangnya. Dia sangat menyayangi ku dan anak-anak. Dia seorang yang sangat sabar serta pendiam. Aku tak pernah pening kepala dengan kerenahnya. Aku sangat bersyukur dengan kurniaan ilahi ini. Dugaan yang sedikit itu dapat aku lalui dengan tenang sekali.

Rumah kami tidak pernah mereka kunjungi walaupun pada hari raya. Hina sangat kami kan. Mereka jijik dengan kami anak beranak.



Bertahun-tahun aku hadapi situasi ini sehinggalah anak-anakku membesar. Aku jadi bertambah nekad untuk melihat anak-anak ku berjaya dalam hidup. Kalau kita miskin dan tidak berpelajaran kita akan di pandang hina oleh orang. Bila kita berjaya dalam pelajaran seterusnya dalam kerjaya orang tidak berani perlekehkan kita lagi. Aku tak sanggup melihat anak-anak ku diperlekehkan seperti mana yang aku dan suamiku alami selama ini. Sedangkan adik-adik pun tak hormat pada suami ku yang merupakan anak lelaki tua dalam keluarga apalagi aku yang ibaratnya melukut ditepi gantang.

Itu dulu.. sepuluh, dua puluh tahun dulu. Sekarang anak-anak ku sudah meningkat remaja dan dewasa. Empat orang anak ku berjaya belajar di IPTA . Yang sulung Hazirah sudah ada ijazah. Bangah Hilmi dan Hamdi dah ada Diploma. Banteh Hamzi masih dalam kursus perguruan untuk segulung ijazah. Tinggal Hidayu dan Habib masih di sekolah menengah.



Selepas berturut tahun anak-anak ku lepas masuk U baru aku rasa ada perubahan dalam sikap ipar duai ku.Mak mertuaku pun bernada lembut bila berbual dengan ku. Memang terasa amat. Barulah aku rasa dihargai, suamiku dihormati.



Tapi rasa janggal itu masih ada. Aku bukan seorang hipokrit. Aku selama ini berlagak bodoh kerana kesian dengan suamiku. Aku tak mahu dia terganggu dan sedih dengan sikap keluarganya. Bukan semua adik beradiknya begitu. Ada yang baik dan melayan ku anakberanak dengan hormat dan mesra sekali.Anak-anak ku pun rasanya tiada perasaan sayang pada keluarga dek kerana lamanya mereka dilayan begitu. Anak-anak ku memang sukar untuk menyesuaikan diri dengan keluarga suami ku. Antara sepupu tak pernah saling berbual mesra. Perhatikan lah bila hari raya atau kenduri kendara. Macam saling tak kenal. Siapa yang salah ya..... siapa yang sombong? Siapa yang merasa dirinya masih hebat?

Aku tak dapat jawab soalan itu kerana aku dan anak-anak yang menjadi mangsa keadaan. Rasa sayang, rasa hormat pada mereka telah lama hilang. Aku tak pernah hasut mereka tetapi mereka dapat menilai sendiri apa yang telah berlaku selama ini.



Lain keadaan nya bila aku sekeluarga pergi kerumah emak aku di Labu. Sambutan hangat sekali. Saling bertanya khabar. Ipar duai saling usik mengusik. Suami ku sering kena usik sebab dia seorang pendiam. Antara anak buah ku mesra sekali. Hiruk pikuk rumah uwan mereka kalau semua berkumpul bersama lebih-lebih lagi di hara raya.Seronok sungguh situasi begitu.Kemudian kami konvoi ramai-ramai berkunjung kerumah saudara mara. Habis dua tiga kampung kami redah dari pagi sampai petang. Ini dinamakan raya sakan...!Rumah ayah pun tak pernah ketinggalan. Setiap tahun kami kunjungi. Walaupun hati terluka kami ramai-ramai ziarah ayah sekeluarga. Murni sungguh hati anak-anak ayah. Seburuk mana pun perbuatan ayah kepada kami, kami tidak pernah berdendam. Orang luar memang boleh komen macam-macam tapi kami anak-anak tak sampai hati untuk sisihkan ayah. Dia lah yang menyebabkan kami lahir didunia ini. Buruk baik perangainya terpaksa kami terima seadanya. Nak beri kesenangan kepada ayah memang tidak dapat kerana emak yang telah berkorban selama ini sepatutnya kami utamakan. Ayah memang tidak layak pun dapat kasih sayang kami kerana dia pernah beritahu emak ' PERGI MAMPUS LAH DENGAN ANAK-ANAK....!'

Aku masih teringat masa kecil-kecil dulu emak ambil upah buat atap rumbia. Sekeping upahnya cuma 15 sen. Bayangkan sukarnya untuk menghasilkan sekeping atap tersebut. Dari proses permulaan mengambil daun dari pokok rumbia. Potong pelepah, lurut daunnya. Ikat sebeban dan pikul bawak balik rumah. Bukan setakat daun rumbia, buluh juga terpaksa disediakan. Tebang buluh, kerat ikut ukuran dan pikul bawak balik rumah. Jarak lokasi ke rumah agak jauh juga. Itu lah rutin kami adik-beradik kalau tak sekolah. Kami lah yang membantu emak buat semua itu selain kesawah. Di mana ayah ketika itu? Ayah tak pernah pun bantu emak buat semua itu.... sebab kami biasa buat kerja berat dan lasak natijahnya kami ahli sukan terbaik di sekolah. Kami adik beradik sememangnya sering menjadi juara dalam banyak acara sukan di sekolah. Siapa boleh pintas apabila kami mulakan larian kami di padang......Bangga sanggat masa itu. Piala dan pinggat banyak kami kumpul tapi sayang satu pun tiada lagi dalam simpanan.



Atap yang sudah siap akan dikeringkan. Bila peraih datang dapat lah emak dalam 15rm untuk 100keping. Duit itulah di gunakan untuk membeli garam, gula atau apa yang perlu. Suatu hari aku tanya emak buat apa orang itu tempah atap banyak-banyak? Mak kata untuk buat atap kandang BABI!!!!!!! Mungkin emak tak ada pilihan ketika itu. Emak perlukan duit sangat-sangat kerana ayah tidak ambil peduli!


`People were always that,

Dragging one into an involvement one did not want,

Demanding more than one wished to give and

Leaving one with a bill one did not want to pay,

A total of bitter memories one could not erase.` 29hb june 2012



Semua inilah yang membuat kan aku sedih bila teringatkan zaman silamku. Mata yang memandang tak sama beratnya beban yang emak dan kami semua tanggung. Sebab itulah bila aku di hina dan diperlekehkan aku tidak pernah melawan. Aku diam aja, tak tau nak respon apa. paling kuat aku hanya akan menanggis dan mulalah luahkan perasaan berbuku di atas kertas. Dulu banyak luahan perasaan ku tetapi semuanya hilang selepas berpindah rumah ke rumah murah Labu. sayang....!

This entry was posted in